Thursday, March 27, 2014

Mengapa Kita Tidak Pernah Serik?


TAHUN 2014 menyaksikan bala dan musibah bagi rakyat Malaysia.

Bermula dengan kenaikan harga barang, banjir besar yang melumpuhkan beberapa bandar dalam negara, denggi yang meningkat, disusuli dengan kemarau panjang, air kering di empangan hingga bekalan terpaksa dicatu, jerebu yang tebal dan peristiwa besar dalam sejarah yang menggemparkan seluruh dunia, khasnya rakyat Malaysia dengan misteri kehilangan pesawat MAS, MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Menyusuli itu, pelbagai cadangan dan pandangan dilontarkan yang akhirnya kerajaan mengarahkan seluruh masjid dan surau melaksanakan solat hajat serta berdoa agar kita dan negara dalam keadaan selamat.

Di celah-celah keghairahan rakyat berdoa, solat hajat dan bermunajat di semua tempat, muncul pula bomoh teropong bubu, kononnya dijemput oleh pihak VIP.

Riuhlah seluruh negara dan dunia dengan apa yang dilakukan oleh bomoh tersebut yang boleh membawa kepada syirik. Maka si bomoh dengan kelakuannya itu dicemuh dan dikecam pelbagai pihak termasuk alim ulama.

Ingatkan terhenti setakat itu sahaja, dua hari selepas teropong, muncul pula episod kedua dengan aksi yang lebih pelik dan tidak boleh diterima sama sekali iaitu duduk bertiga di atas tikar lalu berdayung di atas lantai dengan mengangkat buah kelapa dan raga seolah-olah berada di dalam air.

Entah ke mana mereka belayar? Sesungguhnya, apa yang mereka lakukan ini sangat-sangat memalukan rakyat dan negara di mata dunia. Tetapi yang pelik, tidak ada pula tangkapan dibuat!

Persoalannya, kumpulan bomoh itu datang sendiri atau dijemput? Kalau dijemput, siapa VIP yang menjemput sebagaimana yang dikatakan sendiri oleh ketua kumpulan yang menggelar dirinya Raja Bomoh Sedunia itu?

Bagi kita, bagaimana ALLAH hendak turunkan rahmat jika bercampur perkara-perkara yang dikatakan syirik? Na’uzubillahi minzalik!

Belum pun reda semua bala musibah yang sedang dihadapi dan MH370 belum lagi ditemui, bagaimana nasib penumpangnya pun belum diketahui, begitu juga kesedihan ahli keluarga yang tidak kunjung reda, kita dikejutkan pula dengan penganjuran konsert Festival Future Music Asia (FMFA) 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Mac.

Konsert mungkar yang jelas bertentangan dengan syariat, bertentangan dengan budaya masyarakat, merosakkan minda anak-anak muda, mengapa dibenarkan?

Ironinya, kejadian ini berlaku tatkala umat manusia di seluruh dunia sedang berduka?

Mengapa kita di Malaysia ini menjadi begitu tidak sensitif, bukan sahaja penganjur dan mereka yang terbabit malah soalan ini harus juga dijawab oleh pemimpin kerajaan. Mengapa konsert seumpama ini dibenarkan?

Persoalannya, apakah ini petanda pemimpin kerajaan tidak serius dalam memohon rahmat ALLAH yang seharusnya jadi keutamaan dalam saat kita ditimpa pelbagai musibah ini? Allahuakbar!!!

Tiada langsungkah terdetik rasa insaf dalam hati bahawa ini semua adalah peringatan daripada ALLAH untuk kita kembali semula ke jalanNya, kepada segala hukum yang disyariatkan untuk kita?

Segala musibah ini bukan berlaku begitu sahaja atas sebab teknikal ataupun faktor alam yang kosong, tiada apa-apa. Sebaliknya, ini adalah peringatan, amaran!

ALLAH sekali-kali tidak akan menzalimi kita dan menurunkan musibah kepada kita semua melainkan kita yang menzalimi diri sendiri dan melakukan perkara yang menjadi penyebab turunnya bala atau musibah.

“Dan tidak adalah Tuhanmu membinasakan kota-kota, sebelum Dia mengutus di ibu kota itu seorang rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.” (Surah Al Qhashash, ayat 59)

“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati ALLAH) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (Surah Al Isra, ayat 16).

Sama-samalah kita fikirkan!

* Penulis ialah Imam 1 Madrasah As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Sumber

Reactions:

0 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons