Tuesday, July 26, 2011

KISAH TAULADAN: KISAH 5 PERKARA ANEH



Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah
yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata,
ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi
yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk
mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu
melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi
diperintahkan yang berbunyi, “Esok engkau dikehendaki
keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.

Engkau dikehendaki berbuat :-

1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
2. Engkau sembunyikan,
3. Engkau terimalah,
4. Jangan engkau putuskan harapan,
5. Larilah engkau daripadanya.”

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari
rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama
dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.
Nabi kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan
memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu
yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.” Maka Nabi
itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk
memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit
itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti.
Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya.
Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun
mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu
bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat
akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi
itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk
emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk
emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya
semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah
Nabi itu, “Aku telah melaksanakan perintahmu.” Lalu dia
pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi
itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia
ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak
seekor burung helang sedang mengejar seekor burung
kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata,
“Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.” Mendengar rayuan
burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil
burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan
keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang
menghampiri Nabi itu sambil berkata,

“Wahai Nabi Allah,aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi
tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku
dari rezekiku.” Lantas Nabi teringatkan pesanan arahan
dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan
harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan
perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk
mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging
pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah
mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung
kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya.
Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai
yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari
situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan
hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu,
maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi
pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, “Ya Allah, aku
telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang
diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku
erti semuanya ini.”

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T.
bahawa:

1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya
nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya
jika bersabar dan dapat mengawal serta
menahannya, maka marah itu pun akan menjadi
lebih manis daripada madu.

2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun
disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka
janganlah kamu khianat kepadanya.

4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah
untuknya demi membantu kepadanya meskipun
kau sendiri berhajat.

5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal
seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang
sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah
kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara
ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita seharihari.
Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah
mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu
suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa
kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan
pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di
akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut
melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia
bertanya, “Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu
berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”
Maka berkata Allah S.W.T., “Ini adalah pahala orang
yang mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah
kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu
memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan
diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan
mengata hal orang walaupun ia benar.

wallahua'lam

Digital Mukmin

Reactions:

0 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons